6 Cara Tambat Hati Mentua -Edisi Khas untuk Jejaka-

No Comments
Mengambil hati mentua bukanlah susah. Merekalah ibu bapa kedua anda, maka, tidak salah rasanya untuk anda berusaha untuk kebahagiaan keluarga anda.

#1: Hormat
Foto: Afnan Omar
Selalunya, anda memang tidak ada masalah dalam bab ini. Cuma, anda sering kali terlepas pandang, yang hormat ini bukan sahaja terhadap mentua anda, bahkan pasangan anda juga. Mana ada ibu bapa yang suka jika pasangan anaknya biadab terhadap anak mereka. Marah macam mana pun, jangan tinggikan suara. Geram macam mana pun, jangan sarkastik dan 'serang' pasangan anda bertubi-tubi.
#2: Peka
Foto: Afnan Omar
Tidak ada salahnya ambil tahu lebih sedikit tentang kesihatan mentua anda. Ada darah tinggi ke, gout ke, sakit jantung ke dan belajar sedikit tentang pantang larang makanan penyakit tersebut. Bukan untuk anda tunjuk handal, sekurang-kurangnya anda boleh turut membantu mengawasi makanan mereka.
Contohnya:
"Mak nak makan biskut ni."
"Eh mak, biskut ni ada kacang. Mak ada gout. "
"Awww...kamu ingat."
#3: Sayang
Foto: Afnan Omar
Tidak kisahlah jika anda rasa anda mahu menjaga ke-'macho'-an anda itu. Namun, tidak perlulah anda terlalu menyelindungkan rasa sayang anda terhadap pasangan anda di hadapan mentua anda. Namun, janganlah melebih-lebih pula. Cukuplah pada kadar sederhana. Asalkan mentua anda tahu, yang anak perempuan mereka disayangi suaminya - lelaki yang mereka amanahkan untuk menjaga anak mereka.
#4: Faham
Foto: Afnan Omar
Mungkin anda masih baru kenal mentua anda. Masih ada beberapa perkara yang anda tidak faham tentang mereka. Pada masa ini, tidak salah sekiranya anda biarkan isteri anda yang menjadi orang tengah. Jika hal berkaitan keluarga isteri anda, ikut caranya. Setiap keluarga ada cara masing-masing. Ada setengah perkara yang diambil ringan keluarga lain, rupa-rupanya satu hal yang besar untuk keluarga yang lain pula. Maka anda perlu belajar perlahan-lahan belajar dan faham tentang keluarga baru anda ini.
#5: Buah Tangan
Foto: Afnan Omar
Siapa kata buah tangan kena mahal? Tanya isteri anda, apa buah kegemaran mentua anda, kedai pisang goreng mana menjadi kegemaran mentua anda, nasi lemak macam mana yang disukai mentua anda? Bawa mana-mana buah tangan ini apabila menziarah mentua anda. Perkara-perkara kecil macam ini, walaupun nampak lekeh, namun, impaknya agak besar.
#6: Senyum
Foto: Afnan Omar
Banyakkan lah senyum di hadapan keluarga mentua anda. Tidak susah pun. Senyum sahaja. Anda hanya perlu menggerakkan 12 otot untuk senyum. (Sumber: Zidbits). Mudah bukan?
. . . . . . . . . .
Foto header: Afnan Omar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
back to top